Cinta Tak Berpenghujung – CINTA IBU DAN BAPA
Entah kenapa tiba-tiba hari ini aku rindu sangat-sangat pada seseorang.. Makkkk.. tiba-tiba aku rasa nak peluk mak..... bukan selama ni aku tak rindu pada mak, hari-hari aku tak pernah lupa pada mak........ setiap saat aku sentiasa mendokan mak...... tapi hari ini lain benar rasa kerinduan aku tu.... aku rasa nak dekat sangat dengan mak, aku rasa nak cium mak, aku rasa nak baring atas riba mak, aku rasa nak peluk-peluk mak...... bila ku utarakan kerinduan aku ni pada kakak katanya aku ”buang tebiat”...... bukan dia nak bagi kata semangat, dia marah aku lagi ada..... bila kakak marah aku, aku lagi aku rindu pada emak.......MAKKK!.
Antara ramai-ramai anak emak memang aku yang paling rapat sekali dengan beliau, kakak-kakak ku selalu komplen, mereka berdua kata aku ni anak emas emak, wahal aku tengok kasih sayang emak sama rata pada kami, kadang-kadang emak lagi suka memasak menu kesukaan kakak terutamana bila kami berkumpul dirumah emak, mugkin kakak tak sedar sebab dia lebih suka memerap dalam rumah ketika berada dikampung, tidak seperti aku yang sentiasa mengekori emak kemana sahaja beliau pergi. Bagi emak tiada istilah anak emas atau anak besi.. kasih sayang emak pada kami 11 beradik sama rata, kalau ada pun mungkin kerana sebelum mendapat aku, emak melahirkan 4 orang abang-abang ku terlebih dahulu, termasuk seorang abang yang meninggal dunia semasa beliau berumur setahun lebih. Jarak usia aku dan abang bungsu juga agak jauh berbeza tidak seperti jarak kelahiran anak-anak emak yang lain, iaitu hanya 1 atau 2 tahun setiap seorang. Mungkin juga aku anak tak dijangka atau (”accident”) kerana emak agak berusia sewaktu melahirkan aku. Terima kasih emak kerana sudi mengandung dan melahirkan, seterusnya membesarkan aku dengan penuh kasih sayang.
Bukan setakat emak, aku juga nak berterima kasih kepada Abang Ngah yang turut memanjakan aku sama macam emak, buktinya beliau sanggup mengambil cuti kecemasan sewaktu aku mula-mula menjejak kaki ke alam persekolahan, abang sanggup berhabisan duit semata-mata ingin melihat adiknya berjaya. Mungkin kerana abang tidak sempat bersekolah tinggi, abang hanya tamat darjah 6, akibat kesempitan hidup abang tidak meneruskan pembelajarannya demi memberi laluan kepada adik-adiknya yang lain pula. Kata abang, emak dan ayah orang susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, jadi mereka tak mampu hendak menghantar kesemua anak-anaknya bersekolah serentak.
Emak tidak bekerja, ayah pula hanyalah seorang buruh kasar yang mendapat gaji harian yang sangat sedikit, hanya cukup membeli keperluan makanan dan keperluan harian hari itu sahaja bagi keluarganya yang besar. Kadang-kadang aku kasihan melihat ayah yang membanting tulang mencari rezeki, abang-abang yang lain juga tidak ketinggalan membantu mencari sesuap nasi untuk kami, memberi lorong kepada kami meneruskan pelajaran. Walaupun aku bukanlah murid yang cemerlang tapi mereka masih mengharap aku dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.
Alhamdulillah, kini aku telah dewasa, aku cuba untuk membalas jasa-jasa mereka terhadapku. Walau gajiku tidak sebanyak mana, tapi aku akan pastikan setiap bulan akan kuagih-agihkan kepada mak dan ayah. ”Acu, simpanlah duit ni untuk kegunaan Acu sendiri, mak bukan perlukan sangat duit, mak tahu Acu nak kena bayar duit sewa rumah, makan dan tambang untuk ketempat kerja, Acu juga perlu menabung sedikit untuk masa depan Acu” setiap kali aku memberikan emak duit, itulah leteran emak padaku. Kata emak bukan wang ringgit yang dipintanya, cukup sekadar anak-anak tidak melupakannya. Meniti hari-hari tua, emak hanya perlukan anak-anak sentiasa dekat padanya.
Kini emak, ayah dan abang telah tiada, emak telah pergi meningglkan kami buat selama-lamanya. Tahun ini gelap 11 tahun emak meninggalkan kami 11 beradik, setiap saat aku tak pernah melupakan emak, kenangan indah bersama emak tak sama indahnya walau bersama kekasih sekalipun. Masih tak ada ruang yang dapat mengantikan tempat emak yang kuat terpahat dihatiku selama-lamanya.
6 bulan selepas arwah emak pergi, abang ngah yang paling kusayangi pula mengikut jejak emak, rasa jatuh ditimpa tangga, kerana abang adalah tempat aku mencurah perasaan tentang kerinduan ku pada emak, abang yang setiap waktu kulihat mendoakan emak selepas sujudnya, abang yang diamahkan menjadi pemimpin keluarga, yang pasti, abang adalah abang yang selalu mengisi poketku jika ia kekosongan. Kini abang telah tiada, masih terngiang-ngiang suaranya yang selalu menasihati ku dulu. Walaupun abang agak tegas, maalumlah beliau bekas tentera, tetapi abang amat menyayangi kami adik-adiknya. Dari aku kecil sehingga dewasa abang sentisa melindungi aku, kadang-kadang aku rasa malu kerana aku rasa aku telah dewasa.
Selepas arwah emak dan arwah abang pergi, aku masih ada ayah tempat mencurah kasih sayang, menjelangnya aidil fitri 7 tahun kemudian, ayah pula pergi menyusul mereka ke alam yang fana... masa 7 tahun masih belum mampu menghilangakan perasaan kehilangan orang yang disayang, ayah pula meninggalkan kami semua.
Namun aku redho malah aku berterima kasih kerana emak sempat menghalalkan air susu yang kami minum, memberikan keampunan kepada kami adik beradik sebelum beliau pergi. Perginya dengan tenag dan mendapat redho dari sang suami, iaitu arwah ayah. Aku bangga kerana walau kami bukan orang senang, tapi kami kaya dengan kasih sayang. Sewaktu emak sakit, kami terpaksa menunggu giliran untuk merawat emak, Bukan setakat anak kandung, malah menantu-menantu emak berebut-rebut menanti giliran untuk menunggu emak dihospital. Alangkah bertuahnya emak kerana sentiasa dikelilingi orang-orang yang tersayang tak kira semasa susah atau senang.
Begitu juga dengan arwah ayah, perginya pertengahan Bulan Ramdhan, kami sempat menzahirkan luahan ampun maaf kepada beliau, dengan linangan air mata ayah berkata ”tiada apa yang perlu ayah maafkan, kerana anak-anak ayah tiada membuat sebarang dosa terhadap ayah, jika ada walau sekelumit, telah lama ayah maafkan” pesan ayah walau apa yang terjadi, kekalkan hubungan ukhwah antara kami, tiada harta yang beliau ditinggalkan, melainkan mengharapkan doa-doa dari anak-anak yang soleh dan solehah. InsyaAllah, akan kupegang amanah ayah ini.
Kadang-kadang aku agak kecewa bila membaca paparan akhbar bila ada ibubapa yang terbiar tak terurus, tidak diendahkan atau dipulaukan olah anak-anak sendiri. Sebusuk mana ibubapa kita, dia tetap darah daging kita, mungkin ada kisah yang tersurat dan yang tersirat menyebabkan berlakunya fenomena seperti ini, tapi air yang dicincang tidak akan putus selamanya.
Untuk kawan-kawan yang masih mempunyai ibu dan bapa, sayangilah mereka sewaktu mereka bernyawa. Tiada mereka, kita tidak akan ujud dimuka bumi ini. Ingatlah seperkara, kita tidak akan mendapat redho Allah selagi kita tidak mendapat redho dari ibubapa kita. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian nak mohon ampun maaf bagaimana?.
KASIH MEREKA SANGAT LUAR BIASA: kasih tanpa syarat dan cinta yang tidak berpenghujung.....
Al-fatihah buat : Hajah Intan Hj Zakaria/ Haji Ashaari Bin Hj Jahari/ Haji Abdul Manaf bin Hj Ashaari
~ Cinta tak berpenghujung, Kak Zack
0 comments:
Post a Comment